KUALA KANGSAR: Calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli semakin terdesak sehingga sanggup mengeluarkan `fatwa’ sendiri bahawa ahli PAS umpama menempah musibah sekiranya tidak mengundi beliau pada pilihan kecil 18 Jun ini.
Dalam ceramahnya di Kampung Ketior Dalam pada Sabtu malam, Termizi mendakwa, berdasarkan kajian, PAS tidak mempunyai peluang untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Sehubungan itu, beliau menyeru ahli PAS supaya berpaling tadah dengan mengundinya kerana jika mereka masih tetap mengundi PAS, undi mereka hanya sia-sia.
“Kita semua nak mengalahkan UMNO, Barisan Nasional (BN), mesej saya simple, kita manusia wajib berusaha dan berikthiar.
“Segala undi sia-sia sebenarnya menentang hukum sebab musabab, menentang kehendak Allah S.W.T yang kita faham dari akidah kita,” katanya ketika memberi ceramah di hadapan kira-kira 20 orang penyokongnya.
Ujarnya, usaha dan ikhtiar untuk mengalahkan BN perlu mengikut hukum sebab musabab.
“Bahasa mudahnya…mengikut analisis, mengikut statisik, mengikut perkiraan-perkiraan yang munasabah dari segi ilmu politik, ilmu kemasyarakatan dan sebagainya.
“Melanggar hukum Allah S.W.T dalam bidang ini menempah bahaya kerana tidak menyempurnakan usaha dan ikhtiar,” kata calon itu.