top of page
muinsapidin

AJK Wanita MyPPP Kuala Kangsar Letak Jawatan

KUALA KANGSAR: Sebahagian besar Ahli Jawatankuasa Wanita myPPP Bahagian Kuala Kangsar mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan kerana kecewa dengan pengurusan kewangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar.

Ketua Penerangan Wanitanya, Maimunah Muhamin Noh, 47, berkata, sebagai ahli kepada salah sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN), beliau berasa hampa terhadap pengurusan yang dilaksanakan oleh Pengerusi Pilihan Raya PPP PRK kali ini.

Beliau mendakwa, Pengerusi Pilihan Raya itu tidak pernah membentangkan secara terperinci bajet dan peruntukan yang telah diberikan oleh myPPP Pusat dan Barisan Nasional untuk menggerakkan jentera mereka.

“Dia tidak pernah menjelaskan duit keluar masuk duit tersebut dan kami sudah puas bertanya di manakah duit itu berada sebab kami memerlukannya untuk menggerakkan jentera Wanita myPPP sepanjang musim berkempen PRK kali ini.

“Yang peliknya, apabila kami menghubungi pucuk pimpinan, mereka memberitahu wang tersebut telah pun disalurkan kepada bahagian, maksudnya wang itu sudah berada di sini,”katanya kepada pemberita ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Maimunah, sebahagian daripada duit tersebut telah diberikan kepada beberapa pihak untuk menggerakkan jentera bagi membantu kempen calon BN, namun baki kewangan tersebut masih lagi tidak diketahui.

Beliau mendakwa, kira-kira 100 ahli myPPP akan menyertainya untuk meletakkan jawatan di atas pengurusan kewangan yang huru-hara tersebut daripada jumlah 514 ahli parti itu di sekitar Kuala Kangsar.


12 views0 comments
bottom of page