KUALA KANGSAR: Calon Barisan Nasional (BN) Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan BN kerana telah meluluskan dua daripada lima agenda penting untuk penduduk Kuala Kangsar.
Dua agenda itu ialah projek pembinaan Jambatan Manong yang bernilai RM43.5 juta dan naik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) menjadi sebuah universiti penuh.
Menurut Mastura, beliau bersyukur kerana projek pembinaan jambatan itu yang telah lama diperjuangkan arwah suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad, akhirnya menjadi satu kenyataan.
“Saya mendapat maklum balas yang sangat baik daripada penduduk Manong yang telah lama menunggu perkara ini, terima kasih Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini pada Sabtu.
Perdana Menteri ketika lawatannya ke Kuala Kangsar pada Jumaat telah mengumumkan kelulusan peruntukan RM43.5 juta untuk projek Jambatan Manong di samping naik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) kepada universiti penuh yang bernama Universiti Sultan Azlan Shah (USAS).
Sambil melahirkan rasa syukur di atas pengumuman tersebut, Mastura turut menjunjung kasih kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kerana perkenan memberi kebenaran kepada usaha itu.
Dalam pada itu, Mastura berkata, beliau tidak berputus asa dan akan terus berjuang untuk merealisasikan tiga lagi perkara penting untuk orang Kuala Kangsar iaitu naik taraf Jalan Manong – Kuala Kangsar; naik taraf Hospital Kuala Kangsar kepada hospital pakar dan membangunkan semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan
Sementara itu, dalam satu majlis berasingan, anak sulungnya, Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il Anuar, 26, menganggap pengumuman itu sebagai bukti kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam memenuhi impian arwah bapanya.
“KUISAS memang dianggap sebagai anak emasnya dan menjadi impian arwah papa untuk melihatnya menjadi universiti penuh memandangkan Kuala Kangsar amat dikenali sebagai pusat gedung ilmu seperti MCKK dan Clifford,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Senggang pada Sabtu.
Hadir sama adiknya, Wan Iskandar, bekas ADUN Manong, Datuk Ahmad Jaafar dan ADUN Belanja, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.