KUALA KANGSAR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat bersama pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.
Bagaimanapun, Hishammuddin berpendapat tindakan Tun Mahathir itu tidak akan memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN) kerana kenyataan-kenyataannya tidak konsisten dalam menyokong pembangkang.
Menurut beliau, tindakan Tun Mahathir yang menyokong parti Amanah tetapi tidak parti PAS adalah tidak rasional dan bercanggah dengan kenyataanya sebelum ini.
"Saya sedih sebenarnya, Tun Mahathir tergamak buat sebegini rupa, tapi akhirnya, rakyat akan menilai, bukan parti kita, bukan calon kita di sini, jauh sekali calon kita di Sungai Besar semalam.
"Saya pelik juga kerana kalau peringkat awal Tun kata dia sokong pembangkang hendak kalahkan BN tetapi semalam dia sokong Amanah sahaja sedangkan PAS merupakan sebahagian daripada pembangkang.
"Jadi saya pun tak faham, apa rasionalnya. Menyokong pembangkang pun tidak jelas, pembangkang yang mana? PAS ke? Amanah ke? DAP ke? Semalam dia di atas platform DAP," katanya kepada media selepas Majlis Ramah Mesra bersama pengundi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Mesjid di sini pada Sabtu.
Hishammuddin berkata, ceramah bekas Perdana Menteri itu yang menyerang Perdana Menteri Datuk, Seri Mohd Najib Razak juga tidak akan memberi sebarang kesan kepada pengundi kerana ia tiada kaitan dengan Parlimen Sungai Besar mahu pun Kuala Kangsar.
"Adakah akan mempengaruhi pengundi di sini, saya harap tidak, kerana apa juga hujah yang diluahkan mesti ada asas, ada kaitan dengan pengundi di sini (kerana) mereka tentukan masa pilihan raya di sini.
"Apa yang disampaikan Tun, tidak ada kaitan langsung dengan pengundi di sini dan tidak akan mempengaruhi mereka, insyaAllah," katanya ketika ditanya adakah Tun Mahathir akan mempengaruhi pengundi di kedua-dua PRK itu.