KUALA KANGSAR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, meluangkan masa melawat Hospital Kuala Kangsar pada petang Jumaat.
Beliau diiringi isteri Menteri Besar Perak, Datin Seri Saripah Zulkifli bersama-sama ahli-ahli BAIDURI dan Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr. Juita Ghazalie.
Ketika kunjungan itu Rosmah bersama rombongan berkesempatan melawat ke tiga buah wad di hospital yang menempatkan 47 orang pesakit, termasuk Wad Kanak-Kanak, Wad Wanita dan Wad Materniti. Sepanjang lawatan kira-kira satu jam itu, beliau turut menyampaikan sumbangan dan cenderahati kepada para pesakit selain beramah mesra dengan mereka. Rata-rata pesakit yang ditemui melahirkan rasa gembira di atas kesudian isteri Perdana Menteri melawat mereka di hospital itu. Samiyaton Kasinan, 58, dari Kampung Senggang berkata, ia merupakan detik istimewa buatnya kerana dapat bersua dengan Rosmah. "Terima kasih sebab datang ke sini dan sempat juga beliau datang berbual dengan makcik, beliau memang seorang yang peramah," katanya.