top of page
muinsapidin

RM2 Juta Untuk Hospital Kuala Kangsar

KUALA KANGSAR: Kerajaan memperuntukkan RM2 juta bagi menambahbaik pelbagai kemudahan dan kelengkapan peralatan di Hospital Kuala Kangsar dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, peruntukan itu selaras dengan hasrat kementerian untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada penduduk di sekitar Bandar Diraja itu.

Menurut beliau, sebagai tindakan awal, kementerian telah mengenalpasti dan menyenaraikan beberapa jenis kemudahan dan peralatan yang boleh digunakan di hospital berkenaan. "Seterusnya, kita akan bincang dengan bahagian kewangan di kementerian dan KSU untuk mengagihkan dalam satu dua bulan ini sejumlah RM2 juta ringgit untuk meningkatkan pelbagai jenis kemudahan dan peralatan yang amat diperlukan di hospital ini," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Hospital Kuala Kangsar di sini pada Jumaat.

Dr Subramanian berkata, kemudahan infrastruktur di hospital itu juga akan dinaiktaraf secara giliran termasuk mengoptimumkan penggunaan pakar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan Hospital Taiping untuk bertugas di Hospital Kuala Kangsar. "Pakar-pakar di Hospital Taiping dan di Ipoh akan menjalankan tugas di sini secara giliran untuk memberikan rawatan di peringkat pakar bagi membantu penduduk di sini,” ujarnya. Hospital Kuala Kangsar mempunyai 136 buah katil dan empat wad meliputi wad lelaki, wanita, wad bersalin dan wad kanak-kanak dengan kekuatan jumlah doktor seramai 18 orang. Dr Subramaniam berkata, usaha untuk menaik taraf hospital tersebut menjadi sebuah hospital pakar bergantung kepada keadaan dan jumlah dana yang akan diberikan Kementerian Kewangan kepada pihaknya.


25 views0 comments
bottom of page