KUALA KANGSAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500 tiap seorang kepada pekebun kecil dan penoreh getah akibat kejatuhan harga getah bagi mengurangkan bebanan mereka sewaktu menyambut Ramadan.
Menurut Najib, pembayaran itu yang dibuat bermula hari ini (Jumaat) melibatkan seramai 300,770 orang pekecil kecil dengan jumlah bayaran RM153.885 juta dan 80,341 orang penoreh penoreh getah dengan jumlah bayaran RM40.130 juta.
Beliau memberitahu, keseluruhan bayaran bagi pekebun kecil dan penoreh getah yang layak menerima seramai 388,111 orang dengan sejumlah RM194.053 juta.
Perdana Menteri menjelaskan bahawa bantuan khas itu bukan kerana Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar tetapi soal kebajikan pekebun kecil dan penoreh getah.
“Kalau orang kata ini kerana pilihan raya kecil, itu tak betul, itu bidaah, ini soal kebajikan kepada masyarakat luar bandar,” katanya semasa berucap di Majlis Penyampaian Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah 2016 di Dewan Jubli Perak, di sini pada Jumaat
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Najib, masyarakat pekebun pekecil merupakan nadi pembangunan ekonomi negara, oleh itu kerajaan memandang serius isu-isu pembangunan mereka seperti kejatuhan harga getah yang menjejaskan pendapatan golongan tersebut.
Beliau menyifatkan peranan yang dimainkan oleh RISDA dan KKLW sebagai pelengkap kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan dengan membawa perubahan secara besar-besaran untuk rakyat luar bandar.