KUALA KANGSAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan peruntukan sebanyak RM750,000 untuk membina bangunan baharu Persatuan India Kuala Kangsar bagi menggantikan bangunan lama yang telah uzur.
Beliau juga mengumumkan kelulusan tambahan RM100,000 bagi menaiktaraf padang dan membina tembok batu setinggi 6 meter Memorial Ghandi School dan RM115,000 membina semula pagar serta baik puih tempat pembakaran mayat tanah perkuburan India Saiva Paripalana Sabha, di Jalan Sultan Iskandar Shah.
Selain itu, Najib turut memberi jaminan untuk menyelesaikan masalah perumahan yang melibatkan lebih 20 keluarga India di kawasan Bukit Mercu, Kuala Kangsar.
“Saya telah meminta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk cuba menyelesaikan masalah perumahan yang melibatkan lebih 20 keluarga masyarakat India di situ,” katanya semasa berucap pada Program Bersama Masyarakat India di Memorial Ghandi School, di sini pada Jumaat.
Hadir sama di program itu, Dr Zambry, Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan Malaysia dan Pengerusi MIC Perak, Datuk V. Elango.
Dalam pada itu, Perdana Menteri meminta masyarakat India supaya memberikan sokongan jitu kepada calon Barisan Nasional (BN) pada PRK Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid bagi meneruskan agenda pembangunan di kawasan Parlimen itu.
“Berilah kepercayaan dan sokongan mantap kepada calon ini kerana BN sudah terbukti merupakan satu-satunya parti yang membela nasib masa depan kaum India di negara ini,” ujarnya.
Terdahulu Penasihat Lembaga sekolah berkenaan, M. Phobalan dalam ucapannya memberi gelaran kepada Datuk Seri Najib sebagai Bapa Pembangunan SJK (T) kerana jasa besarnya kepada pembangunan pendidikan masyarakat India di negara ini..