KUALA KANGSAR: Calon Barisan Nasional (BN) Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid mempunyai semangat yang luar biasa, yang mungkin tidak dimiliki oleh kebanyakan wanita.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, jika calang-calang wanita, sudah tentu tidak sanggup untuk menerima cabaran menjadi calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK).
Tambahan, pula kata beliau, selepas melihat sendiri cara hidup suaminya sebagai Ahli Parlimen yang menuntut kepada pelbagai pengorbanan, tanpa mengira masa dan waktu.
“Bukan mudah seseorang hendak menerima tanggungjawab, lebih-lebih lagi dia tahu bagaimana kehidupan seorang wakil rakyat, tidak tentu masa.
“Pada saya, apabila beliau bersedia menyahut cabaran menjadi calon, beliau mempunyai semangat yang cukup tinggi, kualiti yang ada pada seseorang pemimpin,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran jualan buku Megat Terawis di Dewan Orang Ramai Bukit Kerajaan pada Khamis malam.
Sambil mengakui keakraban hubungan antara keluarganya dan keluarga Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad, beliau berkata, Allahyarham sebenarnya antara pemimpin masa depan yang sedang digilap.
Bagaimanapun, Annuar yakin, Mastura mampu meneruskan perjuangan arwah suaminya kerana beliau bukanlah orang asing di Kuala Kangsar di samping mempunyai ciri-ciri seorang pemimpin.
Sehubungan itu, beliau merayu pengundi Kuala Kangsar, termasuk keturunan Megat Terawis supaya bersama-sama membantu mempastikan kemenangan calon BN pada PRK Kuala Kangsar, 18 Jun ini.