KUALA KANGSAR: Kedudukan hutang negara jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kedudukan hutang negara ketika ini masih berada pada tahap yang mampu ditangani oleh kerajaan.
Menurut beliau, jumlah hutang Amerika Syarikat, Jepun dan Singapura lebih besar jika dibandingkan dengan pendapatan perkapita mereka.
“Lihat kejayaan yang telah kerajaan BN buat dalam menguruskan ekonomi negara yang tidak mampu dilakukan pihak pembangkang, malah terdapat negeri-negeri yang ditadbir pembangkangpun masih bergantung kepada kerajaan Persekutuan,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Penyampaian Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah 2016 di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar pada Jumaat.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, kerajaan BN bukan sahaja berkemampuan untuk bercakap dan berjanji, malah melaksanakan apa yang telah dijanjikan kepada rakyat.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati rakyat supaya jangan mendengar dakyah kosong pembangkang kononnya hutang negara berada pada tahap tidak baik.
Katanya, cakap pemimpin dan calon pembangkang tidak boleh didengar kerana Bank Dunia sendiri mengakui ekonomi negara di bawah pimpinan kerajaan BN diurus dengan begitu baik sekali.