top of page
muinsapidin

Buku Megat Terawis Dilancar

BUKIT KERAJAAN: Selepas 10 tahun bertungkus lumus berusaha dan mengumpulkan bahan mengenai Megat Terawis, akhirnya buku Bendahara Perak itu berjaya diterbitkan oleh Persatuan Keturunan Megat Terawis Malaysia

Penjualan buku itu dilancarkan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang juga dikatakan mempunyai kaitan dengan keturunan Megat Terawis kerana berkahwin dengan salah seorang ahli keluarga keturunan tersebut.

Pelancaran diadakan sempena majlis tahlil dan berbuka puasa anjuran Persatuan Keturunan Megat Terawis Malaysia di Dewan Orang Ramai Bukit Kerajaan di sini pada Khamis malam.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua persatuan, Megat Zulhasmi Megat Rafai dan pengerusi penganjur, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharudin.

Annuar di dalam ucapannya berkata, usaha itu sangat baik kerana ia dapat terus menyambung hubungan silaturrahim sesama keluarga keturunan Megat Terawis.

Beliau yang juga Pengerusi MARA turut mengumumkan kesediaan menaja buku itu untuk diedarkan di semua sekolah rendah dan menengah di Kuala Kangsar, selain di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Sementara itu, Megat Ahmad Shahrani memberitahu, cadangan menerbitkan buku itu sangat baik kerana ia mampu memberi gambaran sebenar mengenai sejarah Megat Terawis.

“Dalam kebanyakan drama televisyen yang kita lihat, Megat Terawis digambarkan seolah-olah seorang yang jahat, dengan adanya buku ini, diharap dapat memberi gambaran sebenar,” ujarnya.

Megat Zulhasmi pula berkata, buku tersebut dijual pada harga RM60 sebuah untuk kulit lembut dan RM100 untuk kulit keras.

Megat Terawis merupakan Bendahara Perak yang bergelar Orang Kaya Bendahara Paduka Raja dan merupakan anak kepada Daulat Yang Dipertuan Pagar Ruyung.

Keturunan Megat Terawis banyak berhijrah dari Perak Tengah khususnya dari Kampung Gajah ke Kuala Kangsar, Perak kerana istana Sultan Perak dipindahkan ke sana.


75 views0 comments
bottom of page