IPOH: Seorang maut, tiga parah manakala 31 orang, termasuk seorang bayi cedera ringan selepas bas yang dinaiki merempuh treler rosak di Kilometer (KM) 285, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Simpang Pulai pada awal pagi Khamis.
Gambar Hiasan
Setakat ini, identiti kesemua mangsa yang terbabit dalam nahas tersebut masih belum diketahui.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Rozmi Che Hamat, berkata, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 4.30 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, pihaknya mendapati pemandu bas tercampak keluar daripada kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian, tiga mangsa tersepit manakala yang lain cedera ringan.
"Kita telah mengeluarkan seorang mangsa yang tersepit di atas bas dan dua di bawah tayar. Mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital," katanya ketika dihubungi Suara Perak.
Rozmi berkata, operasi menyelamat tamat kira-kira jam 7 pagi.