KUALA KANGSAR: Selepas mempertikaikan kewajaran Datin Seri Rosmah Mansor menggunakan jet peribadi, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mendakwa isteri Perdana Menteri itu membelanjakan RM86.4 juta untuk kegunaan jet peribadi.
Dalam laporan sebelum ini, Rafizi telah mempertikaikan rasional isteri Perdana Menteri yang menggunakan sebuah jet peribadi AJC319 A6-CJE mewakili PERMATA untuk menghadiri program di Istanbul, Turki.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau telah menerima jawapan daripada pegawai khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor yang mengesahkan beberapa perkara berkenaan isu tersebut.
“Semakan saya dari Paramount Business Jets LLC menyatakan bahawa kadar sewaan adalah sebanyak RM60,000 dalam masa sejam menjadikan jumlah sewaan selama dua bulan adalah sebanyak RM86.4 juta,” dakwanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Amanah di sini pada Khamis.
Dalam masa sama, Rafizi mempersoalkan pengiktirafan pembesar VVIP yang mempunyai keperluan dan boleh menggunakan jet peribadi tersebut.
Beliau mencabar calon Barisan Nasional dan PAS serta pimpinan teratas untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyiarkan secara terbuka senarai penuh perjalanan dan kos terlibat bagi semua jet-jet peribadi yang ditanggung oleh rakyat bagi tahun 2015 dan 2016.