KUALA KANGSAR: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, beliau akan membawa hasrat calon BN Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid bagi menaikkan taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) untuk perbincangan dengan Perdana Menteri.
Menurut beliau, memandangkan perkara itu melibatkan kabinet, maka perbincangan perlu dibuat terlebih dahulu kerana ia melibatkan kewangan.
"Kita akan bincang dengan Perdana Menteri bagaimana kita boleh terus membantu KUISAS,’’ katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di KUISAS, Kuala Kangsar pada Khamis.
Mastura hari ini menyatakan impiannya untuk merealisasikan agenda lima perkara bagi memenuhi harapan penduduk Kuala Kangsar.
Lima perkara itu ialah menaikkan taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) kepada universiti awam; menyegerakan kelulusan projek Jambatan Manong; memohon kelulusan projek membesar jalan Manong-Kuala Kangsar; menaik taraf Hospital Kuala Kangsar kepada hospital pakar dan membangunkan semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan.
Menurut Mastura, kebanyakkan agenda itu adalah dari pemikiran arwah suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohamed Khair-il Anuar Wan Ahmad sendiri tetapi belum kesampaian.
Sementara itu, Idris berkata, PTPTN akan terus membantu dan mempastikan tiada pelajar yang tercicir dalam menerima bantuan pinjaman tabung itu.
Katanya, kerajaan akan melihat kemampanan PTPTN untuk memastikan mereka dapat terus membantu pelajar.
``Saya beri jaminan sebagai Menteri Pendidikan Tinggi tiada pelajar akan dianiayai , jika ada masalah jumpa PTPTN, biasanya yang dapat hukuman dan dikenakan tindakan kerana mereka langsung tidak hubungi PTPTN dan tiada rekod mereka,’’ katanya.
Pada majlis itu, beliau telah menyampaikan wang pendahuluan pembiayaan PTPTN kepada 76 orang pelajar yang baru memasuki Politeknik (Program Diploma) di negeri Perak.