top of page
muinsapidin

BN Pasir Salak Akan Pastikan Dua PDM Menang

KUALA KANGSAR: Barisan Nasional (BN) Pasir Salak akan mempastikan kemenangan calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid di dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang mereka jaga.

Pengerusi BN Pasir Salak, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman berkata, walaupun pada pilihan raya umum lalu, BN tewas di PDM Jalan Kangsar dan PDM Jalan Datuk, pihaknya akan melakukan apa sahaja untuk menawan kedua-dua PDM itu.

Menurut beliau, mereka mempunyai pasukan yang kuat, terdiri daripada wakil-wakil UMNO dan parti komponen BN untuk berkempen di kalangan 2,315 pengundi di PDM Jalan Kangsar dan Jalan Datok.

“Kali ini kami nekad untuk mengubah kedua-dua PDM itu daripada kalah kepada menang, kami ada strategi dan kita juga sudah mengatur program,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan BN Pasir Salak di sini pada Khamis.

Tajudin memberitahu, kedua-dua PDM itu mempunyai 2,315 pengundi di mana PDM Jalan Kangsar mempunyai 1,849 pengundi manakala PDM Jalan Datok mempunyai 466 pengundi.

Beliau menambah, daripada jumlah itu, pengundi Cina mencatatkan lebih 50 peratus diikuti oleh pengundi Melayu dan India.

“Pasukan kami akan menjawab semua isu yang dibangkitkan oleh pembangkang dan kita akan bekerja keras untuk memenangi hati dan perasaan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tajudin menyelar tindakan pemimpin pembangkang yang cuba mengaibkan pemimpin BN dan calon melalui pelbagai media, termasuk papan tanda dan ceramah.

“Politik tidak menghalalkan cara, mengaibkan orang lain adalah perbuatan tidak Islamik dan kotor, saya harap kita tidak akan terikut-ikut dengan cara orang fasik ini,” katanya sambil berharap pengundi akan menghukum pemimpin yang seumpama itu.

Mengenai tindakan Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin yang cuba menyalahkan media dalam isu berkaitan Mastura, Tajudin berkata, bekas Menteri Besar itu tidak boleh dipercayai.


11 views0 comments
bottom of page