top of page
muinsapidin

Ahli UMNO Perlu Fokus Untuk Menangkan Calon

KUALA KANGSAR: Ahli UMNO perlu memberi keutamaan kepada fokus untuk memenangkan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi mencapai matlamat itu, segala isu dalaman parti perlu dilupakan serta merta.

Menurut beliau, setiap ahli khususnya di peringkat bahagian perlu mengenepikan sikap berindividu dan memberi fokus kepada gerak kerja parti.

“Memang kita tak dapat nafikan sedikit sebanyak tentu ada isu melibatkan dalaman parti tetapi dalam pilihan raya bukan soal individu semata-mata, yang penting adalah parti, setiap orang mesti memberi keutamaan mementingkan parti.

“Sebagai ahli parti apabila parti lawan dengan pembangkang, mesti memastikan parti kita menang,” katanya ketika mengulas berkenaan isu dalaman yang mungkin melibatkan pencalonaan Datin Mastura Yazid.

Ismail Sabri berkata, pertandingan dalam parti perkara biasa tetapi apabila dalam pilihan raya, sudah tidak timbul kumpulan dalam bahagian.

Katanya, BN mensasarkan kemenangan dengan majoriti 4,000 dalam PRK tersebut, justeru ahlinya perlu bersatu padu bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parlimen Kuala Kangsar pada Khamis.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayan berkata, kekuatan BN bergantung kepada kekuatan peringkat akar umbi yang dipimpin JKKK.

“JKKK berperanan penting menjalankan tanggungjawab dalam memastikan kerajaan BN terus kekal mentadbir negara,” tambahnya.


29 views0 comments
bottom of page