SENGGANG: Umat Islam diminta mengetepikan perbezaan pendapat dan bersatu demi mengecap kesejahteraan serta kejayaan bersama.
Timbalan Perdana, Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selari dengan gesaan itu, pihaknya telah menghidupkan semula Majlis Perundingan Islam untuk menyatu-padukan ummah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir menunaikan
solat terawih di Masjid Sayong Lembah hari ini. - Foto BERNAMA
Menurut beliau, dalam majlis perundingan tersebut pelbagai ulama telah disatukan dengan pelbagai latar belakang tanpa mengira fahaman politik.
“Marilah kita cuba ketepikan perbezaan, tidak kira ulama itu daripada parti, sama ada profesional dan apa juga tapi mestilah ikhlas demi agama.
“Dalam keadaan inilah, apa yang dilakukan kerajaan dengan pelbagai perubahan dan transformasi, bukan saja menerapkan nilai-nilai Islam, tetapi menghayati,” katanya pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Ramadan Al Mubarak dan berbuka puasa di Masjid Jamek Kampung Senggang pada Selasa malam.
Sementara itu dalam majlis berasingan di Masjid Sayong Lembah, Zahid berkata, jawatakuasa masjid perlu mengatur pelbagai program bagi mengimarahkan tempat ibadat itu.
Jelas beliau, walaupun reka bentuk masjid yang cantik adalah penting, namun pengisiannya lebih penting bagi memberi penghayatan kepada jemaah.
“Lebih-lebih lagi ketika bulan Ramadan ini, mereka perlu menganjurkan lebih banyak program bukan sahaja sembahyang terawih,” katanya ketika berucap selepas menunaikan sembahyang terawih di masjid berkenaan.
Dalam majlis itu, Zahid turut mengumumkan peruntukan RM3 juta untuk memperbesarkan lagi masjid berkenaan.