top of page
muinsapidin

Pembangkang Terdesak, Tidak Hormati Ramadan Ketika Berkempen

KUALA KANGSAR: Kempen-kempen berunsur fitnah dan pembohongan dengan bermatlamat menanam kebencian terhadap calon dan pemimpin BN pada pilihan raya kecil (PRK) P067 Kuala Kangsar dilihat sebagai tindakan terdesak pihak pembangkang.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, lebih malang lagi apabila ia terjadi ketika umat Islam sedang menyambut dan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan yang penuh kesucian ini.

Menurut beliau, adalah amat malang apabila sebuah parti yang mempunyai jenama agama, menggunakan kesempatan kempen dengan terus melemparkan fitnah dan pembohongan bersiri.

“Saya tidak mahu mengatakan beliau sebagai pembohong bersiri tetapi amat malanglah apabila perkara yang dibangkitkan dengan membuat tuduhan melulu dan membohongi rakyat di bulan yang mulia ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) pada Rabu.

Menurut Dr Zambry, beliau perlu segera memperbetulkan segala tohmahan dan pembohongan pihak pembangkang agar rakyat tidak dikelirukan dan menerima bulat-bulat segala pembohongan itu.

“Mereka pihak pembangkang semakin terdesak dan jelas menunjukkan politik yang dimainkan, ketika kita berada di persekitaran politik yang baru, mereka masih belum mampu keluar dari kepompong itu.

“Selama ini mereka tanam kebencian kepada rakyat hatta di bulan Ramadan sekalipun, dia tak peduli dan gunakan kesempatan kerana modus operandi mereka penuh dengan kebencian,” ujarnya.

Dr Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak turut menjawab tuduhan kononnnya kutipan hasil balak jauh lebih baik ketika pembangkang memerintah negeri selama 11 bulan.

“Itu merupakan satu pembohongan seolah-olah kerajaan negeri hanya mengutip RM30 juta dan mereka dapat kutip RM40 juta, siapapun yang check dengan fakta, kutipan kita lebih hebat yang secara perbandingannya dalam lingkungan RM50 ke RM70 juta setahun,” katanya.

Dr Zambry turut menjawab isu miskin tegar yang dimainkan pembangkang kononnya Perak berada ke tangga ketiga di antara yang termiskin di Malaysia.

“Cerita itu mungkin orang tak periksa, umpamanya kalau kategori miskin tegar, kita berada pada tangga kelapan dan miskin ditangga ke tujuh, jadi kita sudah terkeluar dari kategori termiskin di Malaysia,” jelasnya.

Beliau turut menyangkal dakwaan dan fitnah berhubung isu 112,000 ekar tanah yang kononnya diberikan oleh kerajaan negeri kepada kroni.


16 views0 comments
bottom of page