KUALA KANGSAR: Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menganggap PAS sudah tidak relevan dan tidak mengganggapnya sebagai lawan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar. Calon Amanah PRK Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi berkata, sudah tiba masanya untuk PAS berehat daripada dunia politik.
Katanya, misi utama mereka adalah untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN) yang telah lama mengekalkan kedudukan kerusi mereka di Bandar Diraja ini. "Kita bertanding dengan BN, bukan dengan PAS. It's not our priority dan bukan fokus kita, kita tidak anggap PAS musuh, kita anggap PAS tak relevan dan tumpuan kita BN. "Kita nak parti yang tak pernah kalah lagi, bagi kita tumpuan adalah Barisan Nasional,” katanya kepada pemberita dalam sidang media Calon Amanah di Pejabat Amanah, Jalan Daeng Selili, di sini pada Rabu. Tegasnya, Amanah mengganggap PRK Kuala Kangsar sebagai pertandingan dua penjuru sahaja dan bukannya sebagai empat penjuru. Menjawab mengenai hubungan dengan adiknya, Ahmad Dzorif Ramli yang merupakan Ketua Pemuda PAS Kuala Kangsar, Dr Termizi tidak menafikan bahawa terdapat ahli PAS yang berada dalam keluarganya. "Kebanyakan keluarga saya penyokong Amanah dan kami mengamalkan sikap keterbukaan, tidak ada masalah kerana kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi. "Saya tidak pernah terlibat dalam pimpinan PAS, ahli parti itu memang ramai, dalam sejuta tapi saya tidak pernah menyertainya dan bergiat secara aktif," ujarnya.