top of page
muinsapidin

Parti Politik Perlu Patuhi Syarat Pemasangan Bendera

KUALA KANGSAR: Parti-parti politik yang bertanding pada PRK P067 Kuala Kangsar dinasihatkan supaya mematuhi syarat pemasangan bendera dan kain rentang bagi mengelakannya diturunkan penguatkuasa Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).

Gambar Hiasan

Setiausaha MPKK, Mohd Helmi Arifin mengesahkan, kira-kira jam 9.40 pagi pihaknya telah menurunkan beberapa bendera yang dipasang di kawasan dilarang selain kawasan membahayakan pengguna jalan raya.

Katanya, terdapat tiga tempat khas yang dilarang bendera dinaikkan dan lokasi tersebut adalah Bulatan Jam Besar, Bulatan Double Lion serta kawasan istana.

Tegasnya, pihak penguatkuasa akan menurunkan bendera atau kain rentang yang digantung di tiga kawasan tersebut mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan sebelum ini.

"Kita memang ada turunkan beberapa bendera yang dipasang di Bulatan Jam Besar kerana kawasan itu merupakan kawasan larangan, termasuk dua kawasan lain.

"Selain itu, terdapat beberapa syarat lain yang perlu dipatuhi seperti tidak memasang bendera di tiang utiliti, pembahagi jalan atau memasang kain rentang melintasi jalan dan membahayakan.

"MPKK berharap semua pihak bertanding dapat mematuhi peraturan dan syarat-syarat yang telah ditetapkan," katanya ketika dihubungi Suara Perak pada petang Rabu.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan semua pihak bertanding supaya memohon permit bagi pemasangan iklan atau bendera sempena PRK Kuala Kangsar.

Menurutnya, setakat ini pihaknya menerima dua permohonan permit dan dua lagi calon bertanding masih belum memohon permit tersebut.

"Permohonan permit penting kerana telah kita senaraikan syarat-syarat yang perlu dipatuhi bagi pemasangan bendera.

"Jadi, apabila ada permit, secara tidak langsung mereka tahu di mana boleh dan di mana tidak boleh di pasang bendera. Apa yang paling penting, pemasangan bendera mestilah tidak membahayakan orang lain.

"Ada bendera yang sudah jatuh dan tiangnya mengganggu laluan, kita minta parti bertanding supaya memantau perkara ini," katanya.

Tambahnya,kain rentang atau bendera yang diturunkan boleh dituntut di bahagian Penguatkusaan MPKK pada waktu pejabat.


198 views0 comments
bottom of page