KUALA KANGSAR: Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming menyelar pendirian PAS yang menurutnya sebagai sebuah parti yang tidak relevan bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Nga berkata, parti tersebut merupakan sebuah lagi parti yang tidur dan berpeluk tubuh sambil memperli UMNO dalam pelaksanaan pentadbiran mereka di Malaysia.
Nga Kor Ming
Katanya, sebelum ini DAP pernah bekerjasama bersama PAS namun berikutan isu hudud, maka hubungan erat itu diputuskan di tengah jalan.
“Malaysia punya banyak kaum, kita bukan Arab atau China. Hudud bukanlah untuk Malaysia, kesepakatan kaum yang diuar-uarkan oleh UMMO juga tidak sesuai dalam memimpin rakyat setempat,” sesi ceramahnya di Ceramah Umum Pakatan Harapan di padang rekreasi Kg Jerlun Baru pada malam Selasa.
Justeru itu, kata Nga, Amanah adalah sebuah parti yang wajar ditubuhkan kerana ia tidak setuju dengan cara PAS.
“Bangsa Melayu macam inilah kena kerjasama dan diberikan peluang untuk menentang kesepakatan kaum dan hudud,” ujarnya.
Tidak cukup dengan asakan terhadap PAS, Nga turut memandang rendah pendirian MCA yang enggan menyuarakan pendapat mereka sewaktu usul mengenai rang undang-undang negara dibincangkan oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman.
Katanya, beliau ketika itu tercari-cari pendirian MCA yang berdiam diri dan tidak berani bersuara malah yang menyuruh parti pembangkang untuk mengundi BN.
“Ada seorang pemimpin MCA Kedah yang berani untuk keluar parti selepas mengetahui MCA menyokong perlaksanaan hudud namun berpatah balik setelah meminta maaf. Mula-mula keras, bukannya lembut tetapi selepas tiga hari yang keras itu lembut kembali,” perlinya.