top of page
muinsapidin

Mastura Lebih Kuale Dari Orang Kuale – Kamil

MANONG: Pemangku Ketua Bahagian UMNO Kuala Kangsar, Mohamad Kamil Shafie mengakui bahawa calon Barisan Nasional P067 Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazit lebih kuale daripada orang kuale sendiri.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong itu, isteri Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad itu tinggal di Kuala Kangsar sudah hampir 30 tahun.

"Sejak dia berkahwin dengan arwah dan membantu arwah sejak zaman Pemuda UMNO sampailah jadi Ahli Parlimen, jadi dia orang kuale lah.

"Cuba check antara calon-calon yang bertanding, siapa yang mengundi di sini? Saya rasa Datin Mastura sahaja jadi pengundi sini...maknanya dia orang kuale...malah dia lebih kuale dari orang kuale yang mengundi di luar," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan banyak pihak yang mempertikaikan Mastura anak Negeri Sembilan dan bukan Kuala Kangsar yang tidak wajar menjadi calon.

Kamil berkata, apa yang berlaku sekarang, perlu difikirkan secara matang dan menganggap ia rezeki kepada Mastura untuk meneruskan perjuangan arwah suaminya.

"Bukan maknanya UMNO Kuala Kangsar tidak ada tokoh lain tetapi menghormati beliau sebagai orang yang sama-sama berjuang dengan arwah Datuk Wan," jelasnya.

Seperkara lagi, kata ADUN Manong itu, pengundi di Kuala Kangsar sebenarnya mengamalkan budaya politik matang sejak dari dahulu lagi.

Beliau memberi contoh, sebelum arwah Wan Khair-il, ahli parlimen Kuala Kangsar juga bukan anak tempatan, termasuk Tan Sri Rafidah Aziz yang mampu bertahan selama lapan penggal (1986 – 2013).

Ketika diminta mengulas mengenai keadaan UMNO Bahagian selepas pemilihan Mastura sebagai calon, Kamil menegaskan, keadaan parti adalah kukuh dan bahagian berjaya mengawal keadaan.


11 views0 comments
bottom of page