KUALA KANGSAR: Presiden Makkal Sakti, Datuk R.S Thanentiran menyelar pembangkang terutama Parti Amanah Negara (Amanah) kerana menjalankan kempen politik berunsur pembohongan terhadap calon dan pemimpin BN tanpa menghormati bulan Ramadan.
Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana bulan Ramadan merupakan bulan mulia yang wajib dihormati umat Islam.
Menurut beliau, parti dari berlainan kaum juga amat menghormati Ramadan apabila berkempen dalam PRK Parlimen Kuala Kangsar tetapi malangnya pemimpin dari parti yang berimejkan Islam sendiri tidak memuliakannnya.
"Bulan Ramadan ini takkanlah mereka tak tahu cara bercakap, kitapun sebagai parti rakyat India kita tahu, we have to respect our Muslim friends, janganlah ambil kesempatan dalam bulan ini terus mengutuk dan memfitnah dan rakyat akan mengajar mereka,’’ katanya kepada pemberita semasa melawat bilik gerakan Makkal Sakti di Kampung Simpang Tiga Talang, Kuala Kangsar pada Rabu.
Menurutnya, kempen-kempen politik pembohongan dengan matlamat menanam kebencian terhadap calon dan pemimpin BN kali ini dilihat sebagai tindakan terdesak pihak pembangkang.
Thanentiran yakin dan percaya bahawa rakyat di kawasan Parlimen Kuala Kangsar akan menolak pembangkang kerana mereka tahu menilai siapa yang lebih layak menjadi pemimpin.