top of page
muinsapidin

Kerani Swasta Didakwa Miliki Dokumen Berkaitan IS

LUMUT- Seorang kerani swasta, Rafidah Juma`at, 26, dihadapkan di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Rabu atas tuduhan memiliki buku dan dokumen yang mempunyai kaitan dengan perlakuan dan perbuatan kumpulan pengganas (IS).

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Rafidah yang kelihatan tenang ketika berada di kandang pesalah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Bistari, Ayer Tawar, Manjung, pada 24 Mac lepas.

Rafidah didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana bahan penerbitan tersebut, jika sabit kesalahan.

Majistret Nur Shaqira Ibrahim menetapkan 28 Julai depan bagi sebutan semula kes itu untuk mendapatkan izin kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rafidah tiba di mahkamah diiringi dua anggota polis kira-kira pukul 9.15 pagi.

Sebaik prosiding selesai, anggota keluarga yang berada di galeri awam kelihatan berpelukan sambil menangis dengan tertuduh.


32 views0 comments
bottom of page