ALOR PONGSU- Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menepis dakwaan sesetengah pihak kononnya projek Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu yang menelan kos RM100 juta merupakan projek terbengkalai.
Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa projek berkenaan sebenarnya merupakan projek yang ditunggu oleh rakyat khususnya bagi penduduk sekitar Alor Pongsu dan Bagan Serai.
Menurut Dr Zambry, setiap kali beberapa pilihan raya, kerajaan negeri Perak sebenarnya memohon pembinaan projek bertingkat itu dan akhirnya kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM100 juta.
“Kita tidak mungkir janji dan begitu juga saya tahu di kawasan seperti Kuala Kangsar pun sama juga, kita tidak akan mungkir janji.
“Kita telahpun meletakkan beberapa perkara yang menjadi keutamaan kepada penduduk dan kemukakan kepada kerajaan Persekutuan, ada projek yang berkaitan dengan kerajaan Persekutuan, kita perlu adakan perbincangan secara berterusan,”
katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persimpangan Bertingkat Alor Pongsu di Kilometer 181.4 Lebuhraya Utara-Selatan di sini pada Selasa.
Hadir sama Menteri Kerja Raya Malaysia Datuk Seri Fadillah Yusof, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat.
Menurut Dr Zambry, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan hadir ke Kuala Kangsar dan kerajaan negeri akan mengemukakan perkara-perkara itu serta mengharapkan sesuatu yang baik daripada beliau.
“Perkara itu yang menjadi perhatian rakyat yang mempunyai impak kepada rakyat selama ini kerana mereka memang menantikannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, proses kesinambungan kepimpinan di Kuala Kangsar amat perlu kerana jika tidak, ia akan menyukarkan proses pembangunan yang dirancang oleh Allahyarham Datuk Mohamad Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad sebelum ini.
Katanya, selaku Menteri Besar, beliau memberikan komitmen untuk mempastikan kelancaran proses pembangunan dan perancangan yang dibuat untuk Kuala Kangsar.
“Saya juga telah mengadakan perbincangan secara langsung dengan Perdana Menteri dan saya yakin dengan Datin Mastura Mohd Yazid melalui kemampuan beliau.
“Beliau bukanlah orang baru kerana telahpun berkecimpung bersama suaminya selama 27 tahun di Kuala Kangsar, demikian juga sejak suaminya menjadi wakil rakyat,’’ katanya.
Dr Zambry memberitahu projek persimpangan bertingkat itu dapat memberi manfaat kepada 100,000 pengguna jalan raya yang menetap disekitar Alor Pongsu dan Bagan Serai.
Katanya, dengan adanya persimpangan itu, ia dapat menjimatkan masa perjalanan dari 45 minit kepada 10 minit, berbanding menggunakan persimpangan bertingkat Bandar Baharu dan Bukit Merah.