KUALA KANGSAR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau langsung tidak terkejut dengan tindakan ADUN Changkat Jering, Datuk Seri Nizar Jamaluddin melontarkan perkataan yang berunsur tidak puas hati terhadapnya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Naib Presiden UMNO itu berkata Nizar rupa-rupanya belum pernah berubah dan bertaubat dengan apa yang telah dilalui beliau sebelum ini.
“Saya ucapkan syabas dan syukur, mudah-mudahan taubat beliau diterima Allah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Ramah Mesra Bersama Pengundi dan Masyarakat Tempatan di Dewan Orang Ramai ( DOR) Ulu Kenas, PDM Ulu Kenas di sini pada petang Selasa.
PDM itu merupakan pusat mengundi terawal yang dilawati oleh Timbalan Perdana Menteri dalam kempen pilihan raya kecil yang berlangsung di dua tempat serentak iaitu Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Nizar yang menggelar dirinya dan Perdana Menteri sebagai dua mahkluk yang merampas kuasanya sebagai Menteri Besar pada tahun 2009.
Kenyataan Nizar yang dilontarkan dalam ceramah umum Parti Amanah Negara (Amanah) pada malam Isnin itu turut menyatakan bahawa bumi Kuala Kangsar sememangnya ditakdirkan untuk menghadapi PRK berikutan rampasan kuasa tersebut.
Zahid dalam pada itu juga menafikan sekerasnya tindakan Nizar kononnya Datin Mastura Mohd Yazit merupakan seorang calon yang dipaksa.
“Tiada siapa paksa, saya terlibat dalam pengumuman nama beliau atas keputusan yang telah diberikan oleh Datin sendiri, dan sebelum ini saya telah berjumpa dengan anak-anak beliau juga.
“Mereka yang bercakap itu, dia tidak mengetahui persetujuan daripada diri calon, ini merupakan kaedah ‘reverse psychology’ mereka.
“Tiada paksaan langsung, mungkin itu satu bisikan syaitan yang sampai ke telinga beliau,” katanya lagi.
Mengenai kemungkinan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kempen-kempen di sekitar Kuala Kangsar, beliau berpendapat ianya bukan satu masalah besar dan BN mengalu-alukan kedatangan bekas Perdana Menteri itu.