top of page
muinsapidin

Mastura Boleh Berbicara Hal Politik Walau Dalam Tempoh Iddah - Mufti Perak

IPOH – Meskipun masih berada dalam tempoh iddah, Datin Mastura Mohd Yazid masih boleh berbicara hal politik di dalam kediamannya. Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, perkara itu berlaku sekiranya terdapat mana-mana pihak yang berkunjung ke kediamannya bagi tujuan ziarah.

Menurutnya, ketika berada dalam tempoh iddah, dari segi hukum Islam, calon BN berkenaan sememangnya haram menonjolkan diri di khalayak ramai bagi tujuan kempen, namun boleh menerima kehadiran orang ramai yang ingin menziarahinya. “Dia boleh jadi calon cuma tidak boleh keluar kempen, orang boleh ziarahnya di rumah dengan syarat dia tidak menonjolkan diri…seperti kata Mufti Kelantan, dia perlu berpakaian ihdad iaitu berpakaian hitam serta tanpa sebarang perhiasan diri. “Kalau ada orang datang ke rumahnya untuk menziarah…boleh dan dia boleh bercakap hal politik tapi ketika di rumah, bukan di luar,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Radio Nurul Quran Nusantara milik Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) di Dewan Kuliah Masjid Sultan Azlan Shah, pada Isnin. Hadir sama, Presiden Mapim, Mohd Azmi Abd Hamid. Harussani mengulangi pengakuan bahawa pemimpin tertinggi BN telah bertemunya untuk meminta nasihat dari sudut agama berhubung peletakan Mastura di kerusi berkenaan. “Pada pandangan mereka, tidak ada calon lebih layak mewakili BN di kerusi itu, jadi saya maklumkan dia boleh jadi calon tetapi tidak boleh keluar kempen. “Atas dasar perjanjian bahawa calon berkenaan tidak akan keluar, maka keputusan itu dibuat,” katanya. Beliau menjelaskan, tempoh iddah bagi wanita kematian suami adalah selama empat bulan 10 hari dan individu itu tidak boleh keluar rumah kecuali atas sesuatu yang berhajat. “Contoh dia dibenarkan keluar kalau dia seorang yang mencari nafkah, seorang ahli perniagaan untuk menguruskan perniagaan, sakit untuk ke hospital dan kalau dia seorang guru untuk mengajar, selain daripada itu haram, samalah seperti turun kempen..tidak boleh kerana hukumnya haram,” katanya. Dalam perkembangan sama, beliau mengingatkan semua calon dan jentera parti masing-masing agar menjaga adab ketika berkempen. Katanya, ketika berkempen, perkara yang perlu diberitahu kepada umum adalah apa yang boleh dilakukan sebagai pemimpin untuk rakyat, bukannya mencaci atau niat untuk menjatuhkan pihak lain. “Kempen dalam puasa ini perlu jaga lidah dari berkata-kata yang tidak baik, bohong ataupun mengumpat, mencaci kerana batal hikmah puasa. Jadi apa guna, penat saja yang dapat,” katanya. - Sinar Harian


14 views0 comments
bottom of page