top of page
muinsapidin

Lupakan Kecil Hati, Terima Calon BN - Ahmad Zahid

KUALA KANGSAR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pihak yang tidak terpilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar supaya tidak berkecil hati dan meneruskan perjuangan dengan sebulat suara.

Menurut beliau, pucuk pimpinan parti yakin calon BN, Datin Mastura Mohd Yazit yang merupakan balu Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad adalah individu paling sesuai sehingga tiada faktor luaran yang mampu menolak kejituan pemilihannya.

"Kalau ada sikit-sikit sesama kita ini kecil hati atau rasa patut dapat (jadi calon) tapi tak dapat, ingatlah itu rezeki, qada dan qadar, pasal apa nak layan sakit hati?

"Kalau zaman kita dulu orang lain sokong kita, maka sekarang kita sokonglah. Kalau kita buat baik, Allah akan balas baik...insya Allah," katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Program Ramah Mesra Bersama Pengundi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Ulu Kenas dekat sini pada petang Selasa.

Dalam pada itu, Zahid menasihatkan jentera BN bagi memperbaiki serta meningkatkan gerak kerja masing-masing dalam membantu misi parti untuk mengekalkan kerusi kemenangan di parlimen tersebut. Tambahan pula, kata beliau, calon pilihan BN tidak dapat menyertai kempen kerana perlu melalui tempoh iddah selama empat bulan 10 hari berikutan kematian suami.

"Janganlah kita sebagai jentera bila nak bergerak sikit (buat kerja) semua nak duit. Jiwa perjuangan jentera BN adalah kerja tanpa duit, walaupun calon tiada tapi kerja tetap berjalan untuk menangkan calon kita," ujarnya.


27 views0 comments
bottom of page