top of page
muinsapidin

Kami Tidak Fikir Soal Letih – Anak Mastura

KUALA KANGSAR: Walaupun sibuk dengan pelbagai urusan, termasuk kempen mewakili ibu mereka sejak lebih sebulan lalu, anak-anak calon Barisan Nasional (BN) PRK Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazit tidak kenal erti letih.

Walaupun mengakui mereka sedang menjalani pengalaman yang cukup luar biasa sejak tragedi helikopter di Sarawak yang mengorbankan ayah mereka, Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad

Wan Emir Astar berkata, walaupun dari segi mental dan emosi, mereka sedih dengan apa yang berlaku, tetapi sebenarnya itulah pembakar semangat untuk dia dan adik-adiknya.

Menurutnya, mereka sendiri melihat kehidupan ayahnya yang cukup berkualiti dan tidak akan duduk diam apabila ada masa terluang.

“Kami sebagai anak-anak dah biasa melihat dia selalu ke sana ke sini, kalau dia boleh lakukan, kenapa kami anak-anak tidak boleh lakukan benda yang sama

“Tidak menjadi masalah bagi kami, kelesuan itu letak di belakang sahaja, yang penting untuk memenangi pilihan raya ini demi untuk kebaikan orang Kuala,” katanya ketika ditemui semasa lawatan dari rumah ke rumah di Kampung Kubang Udang, Bekor pada Selasa.

Hadir sama dalam lawatan rumah ke rumah itu ialah Wan Iskandar, 23 dan Wan Mohamad Amar, 19.

Bekor sangat bermakna kepada keluarga itu kerana ia merupakan tempat terakhir Wan Khair-il berkhidmat di Kuala Kangsar sebelum berangkat ke Sarawak.

Mengulas mengenai perjalanan kempen, Wan Emir mengakui ia sedikit mudah kerana ramai penduduk Kuala Kangsar mengenali mereka adalah anak kepada Allahyarham Wan Khair-il dan Mastura.

“Alhamdulillah semuanya positif kerana mereka kenangkan khidmat arwah papa, tambah-tambah lagi kamipun muka seiras.

“Walaupun sudah sebulan lebih, apabila berjumpa ada yang terkenang dan menangis, menceritakan apa yang papa buat untuk mereka, kami bersyukur kerana besarnya impak arwah kepada warga Kuala,” ujarnya.


20 views0 comments
bottom of page