top of page

Tidak Salah Mastura Bertanding – Calon PAS

  • muinsapidin
  • Jun 6, 2016
  • 1 min read

KUALA KANGSAR: Tindakan Barisan Nasional (bn) meletakkan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar walaupun masih dalam tempoh iddah bukanlah suatu isu.

Calon PAS Dr Najihatusalehah Ahmad berkata, ia adalah hak BN untuk meletakkan sesiapa yang dirasakkan layak dan secara peribadinya beliau berpendapat tidak salah untuk Mastura bertanding di kerusi yang ditinggalkan oleh arwah suaminya.

“Itu adalah hak BN untuk meletakkan sesiapa sahaja dan terpulang kepada Mastura juga untuk mematuhi hukum iddah itu, mereka mempunyai penasihat serta mufti yang boleh memberi nasihat.

“Bagi saya tak salah untuk bertanding, cuma dia (Mastura) kena patuhi hukum iddah itu,” katanya pada satu sidang media khas di Markas PAS Kuala Kangsar pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau mengakui bahawa ketiadaan Mastura ketika tempoh berkempen sepanjang PRK itu juga bukan merupakan satu kelebihan untuk PAS.

“Bagi saya, ianya bukan satu kelebihan walaupun saya boleh keluar berjumpa dengan pengundi, BN akan mengunakan jentera mereka juga, jadi ianya cabaran untuk saya.

“BN akan mengunakan seluruh jenteranya, BN kalau letak siapa pun calon, dia akan turunkan semuanya sekali termasuk menteri-menteri, tambahan sekarang hanya ada dua PRK, mereka akan bahagikan,” ujarnya ketika ditanya adakah ketiadaaan Mastura untuk berkempen akan memberi kelebihan kepada calon-calon lain.


Comments


bottom of page