top of page

Skuad Jom Bantu salur bantuan 'Seikhlas Ramadan'

  • muinsapidin
  • Jun 6, 2016
  • 2 min read

PARIT BUNTAR - Skuad Jom Bantu mengenal pasti lebih 70 golongan sasaran dalam kawasan Parlimen itu untuk diberikan sumbangan menjelang bulan puasa.

Sumbangan berupa barangan dapur seperti beras, susu dan tidak ketinggalan buah kurma itu diberikan menerusi program 'Seikhlas Ramadan' yang dilancarkan sejak minggu lalu.

Mohd Said(dua kiri) menyerahkan sumbangan daripada Skuad Jom Bantu kepada salah

seorang pesakit uzur di Kampung Parit Tanjung Piandang, semalam

Koordinator, Mohd Said Ismail berkata, untuk tahun ini golongan sasaran seramai 51 melibatkan ibu tunggal, warga emas dan pesakit uzur dikenal pasti oleh pihaknya untuk menerima sumbangan itu melibatkan lebih sepuluh kampung.

Menurutnya, selain golongan kurang berkemampuan, pihaknya turut memberi sumbangan kepada satu-satunya rumah anak yatim di daerah Kerian iaitu Kediaman Cahaya Ain di Bagan Serai.

"Program julung kali ini diadakan melibatkan komuniti penduduk Parit Buntar yang berminat menjadi sukarelawan dan penyumbang dana dalam menjayakan misi menyantuni golongan kurang berkemampuan sepanjang bulan Ramadan..

"Sumbangan diberikan kepada semua tanpa mengira fahaman politik ataupun pilih kasih. Barangan yang diberikan adalah hasil sumbangan ahli komuniti penduduk Parit Buntar dan penyumbang sukarela dari seluruh negara.

"Lebih mengharukan, program turun padang menyerahkan sendiri bantuan sumbangan kepada golongan sasaran di rumah masing-masing turut disertai tujuh ahli komuniti #Projek Kalian yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Sains Malaysia(USM)," katanya ketika ditemui pada program yang diadakan baru-baru ini.

Mohd Said berkata, bagi melancarkan pemberian sumbangan, kawasan sasaran dibahagikan kepada empat zon iaitu selatan, timur, barat dan utara.

"Barangan dihantar terus kepada penerima dalam kunjungan dari rumah ke rumah, yang turut bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dengan penduduk Parlimen Parit Buntar," katanya.

Mohd Said berkata, pada masa akan datang, pihaknya merancang untuk melibatkan keluarga yang dirasakan layak dan memerlukan.

"Saya juga mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana penyumbang yang berminat untuk memastikan lebih ramai golongan sasaran mendapat manfaat.

"Mana-mana individu atau badan korporat yang berminat menyertai program 'Seikhlas Ramadan' sebagai penyumbang boleh menghubungi Hanna (019-4433112), Said (019-5619304) dan Moon (011 -3233 5847) untuk keterangan lanjut,"katanya.


Comments


bottom of page