top of page

Penduduk Kg Baru Jerlun Terima BN – Dr Mah

  • muinsapidin
  • Jun 6, 2016
  • 1 min read

KUALA KANGSAR: Kira-kira 3,000 penduduk masyarakat Cina Kg Baru Jerlun menyatakan penerimaan mereka terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN) dengan hati terbuka menjelang Pilihan Raya Kecil ( PRK) kali ini.

Hal ini disahkan oleh Pengerusi MCA Negeri Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon dalam sesi “walkabout” mengejutnya yang diadakan di sekitar perkampungan itu pada pagi Isnin.

Dalam sesi ramah mesra, pemimpin parti komponen BN itu berkata, terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa penduduk kampung tersebut menolak BN dan enggan menyokong calonnya.

“Perkara itu sama sekali tidak benar kerana mereka amat mengalu-alukan kedatangan kami ke perkampungan ini, malah mereka begitu teruja untuk berjumpa dengan kami dari MCA, perkara ini jelas menunjukkan sokongan mereka terhadap Barisan Nasional sendiri,” katanya kepada Suara Perak.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian seperti penyediaan sebuah dewan komuniti di kampung berkenaan bagi memudahkan mereka melakukan pelbagai aktiviti.

Menurut Dr Mah, pihaknya telah membawa wakil Pejabat Tanah dan Daerah ( PTD) Kuala Kangsar dan hasil lawatan itu, mereka telah mengenalpasti dua kawasan yang boleh dibangunkan sebagai lokasi ideal dewan bagi mereka.

“Ini merupakan hasrat dan permintaan mereka yang tersimpan sejak sekian lama dan jelas, kehadiran kami di sini membawa manfaat kepada apa sebenarnya yang terbuku di hati mereka.

“Perancangan dewan komuniti ini akan mengambil masa dan memerlukan sekurang-kurangnya RM20,000 bagi pembinaannya, namun kami akan mencuba sedaya upaya untuk memberikan kemudahan dan fasiliti bagi kegunaan penduduk di Kg Baru Jerlun,” katanya.


Comments


bottom of page