top of page

Menu Kegemaran Ramadan Imbas Kenangan Bersama Arwah Bapa

  • muinsapidin
  • Jun 6, 2016
  • 1 min read

KUALA KANGSAR: Sambutan hari pertama Ramadan tahun ini membawa pengertian besar buat anak-anak mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad kerana mereka menyambut bulan barakah itu tanpa kehadiran bapa tersayang.

Namun begitu, menurut anak sulung arwah, Wan Emir Astar, 26, dia dan adik-adiknya dapat menerima hakikat untuk menjalani ibadah puasa tahun ini tanpa bersama bapa mereka.

Katanya, cuma ada sedikit perasaan kekok ketika waktu bersahur kerana ketiadaan arwah.

“Waktu sahur pagi tadi pun ada sedikit kekok dan semestinya waktu berbuka puasa nanti pasti terasa sebab ada satu satu kerusi kosong,” katanya kepada pemberita semasa membeli juadah di Bazar Ramadan, Sayong pada Isnin.

Turut sama membeli belah, adiknya Wan Muhammad Amar dan Wan Iskandar.

Menurut Wan Emir, makanan kegemaran bapanya setiap kali menjelang Ramadan ialah cucur udang dan mi basah, bahkan bapanya kerap membeli juadah di bazar berdekatan Arena Square, Kuala Kangsar.

“Hari ini kami tidak berkesempatan ke sana, seingat saya kalau balik kampung dulu arwah bapa mesti beli juadah kegemarannya untuk dimakan bersama.

“Banyak kenangan yang saya lalui bersama arwah bapa, terutama makanan istimewa yang digemarinya iaitu cucur udang, mi basah dan ayam percik.

“Tapi hari ini saya tak dapat membeli mi basah, hanya cucur udang dan ayam percik untuk dimakan bersama ibu,” kata Wan Emir.

Kehadiran tiga beradik itu menarik perhatian orang ramai terutama bagi mereka yang ingin membeli juadah berbuka puasa di bazar tersebut, selain itu mereka juga sempat beramah mesra bersama penduduk sekitar.


Comments


bottom of page