Amalkan Enam Perkara Asas Dalam Berkempen – Mufti
- muinsapidin
- Jun 6, 2016
- 2 min read
KUALA KANGSAR- Allah meletakkan enam perkara asas dalam hubungan manusia dan jika melakukan salah satu daripada enam perkara itu, seseorang boleh menjadi fasik dan melakukan dosa besar.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, enam perkara yang terkandung dalam ayat 10 surah Hujurat ialah jangan menghina, merendah-rendahkan orang lain, menggelar orang lain dengan nama buruk, banyak berprasangka buruk kepada orang, suka mengumpat dan memerli orang.

Menurut beliau, dalam hukum syarak sudah ada satu panduan yang cukup terang Allah tetapkan bagi manusia supaya mematuhi hukum itu.
“Maknanya, jangan seseorang itu menghina seorang yang lain, mungkin orang yang dihina itu lebih baik daripada orang yang menghina.
“Begitu juga perempuan tidak boleh menghina perempuan yang lain atau mengejek perempuan yang lain, mungkin orang yang dihina dan dipandang rendah itu lebih baik daripada orang yang menghina,” katanya kepada Suara Perak pada Isnin.
Beliau diminta mengulas perbuatan beberapa penceramah yang memburuk-burukkan pemimpin dan sesama umat Islam semasa kempen PRK Parlimen Kuala Kangsar ketika ini.
Baru-baru ini, ADUN Changkat Jering, Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin memburuk-burukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di dalam ceramahnya di Padang Changkat.
“Yang elok itu datang daripada Allah s.w.t dan yang tak elok itu daripada Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor,” itulah antara kandungan ceramahnya.
Harussani menasihati umat Islam supaya jangan menggelar orang dengan nama yang buruk kerana orang yang menggelar itu telah melakukan perbuatan fasik dan jika tidak bertaubat maka ia termasuk dalam golongan orang yang zalim.
“Kita hendaklah menjauhkan diri daripada banyak prasangka buruk terhadap orang, sekali-kali jangan kerana itu adalah dosa,’’ katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, di dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, mereka yang melakukan salah satu daripada enam perkara asas itu akan membatalkan hikmah puasa.
Harussani berkata, Rasullulah S.A.W bersabda, apabila seseorang itu berpuasa hendaklah berpuasa bersama lidahnya, matanya, telinganya dan anggota badannya.
“Jadi hendaklah berpuasa lidah daripada mengata, mengumpat, memaki, menghamun, perli-memperli semuaya, maka jangan kita melihat benda-benda haram dan suka mencari keburukan orang.
“Jangan kita mendengar perkataan yang memburuk-burukkan orang atau perkataan umpat-mengumpat dan jangan melakukan perbuatan yang boleh menyakitkan orang lain seperti merosakkan harta benda orang,” ujarnya.
Ditanya mengenai penganjuran majlis berbuka puasa untuk orang Islam oleh parti-parti politik sepanjang bulan Ramadan, beliau berkata, itu tidak menjadi masalah dan bergantung kepada niat mereka.
“Maknanya baguslah kerana memberi makan kepada orang yang berpuasa jika niat mereka baik, maka baiklah dan begitu juga sebaliknya,” katanya.



Comments