KUALA KANGSAR: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar memahami keterbatasan calon Barisan Nasional (BN), Datin Mastura Yazid yang tidak dapat menyertai kempen kerana sedang menjalani tempoh iddah.
Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, melalui maklum balas yang diterima oleh jentera wanita di daerah itu, pengundi tidak menganggap ianya satu masalah atau isu.
“Pengundi amat memahami, sebenarnya tidak menjadi masalah pun melainkan pembangkan nak buat ianya satu masalah tetapi hakikatnya pengundi memahami.
“Lagi pun Mastura bukan seorang calon yang tidak dikenali oleh pengundi, mereka amat memahami. Prestasi kerja beliau disisi suaminya amat menyerlah dan pengundi telah pun kenal,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Mastura di kediamannya di Bukit Chandan pada Sabtu malam.
Dalam pada itu, Sharizat memberitahu, jentera Wanita UMNO akan menggerakkan kempen secara berhemah dengan lebih 2,000 ahli sayap itu.
Jelas beliau, kempen secara berhemah bukan sahaja dilakukan secara fizikal seperti dari rumah ke rumah, malah menerusi laman sosial.
“Jangan pula kita berhemah dari segi fizikal sahaja tetapi dalam media sosial seolah-olah tidak ada undang-undang, tak ada peradaban.
“Kita berkempen mengikut tatasusila Malaysia, beradab, bersopan dan juga tidak menggunakan PRK ini sebegai medan berperang politik, tidak perlu,” ujarnya.