KUALA KANGSAR: Tindakan Parti Amanah Negara (PAN) menghantar calon menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) P067 Kuala Kangsar sekaligus menjadikan pertandingan empat penjuru, disifatkan sebagai memberi tongkat kepada Barisan Nasional (BN).
Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berkata, PAS mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menang sekiranya PAN tidak menyertai PRK itu.
Menurut beliau, pihaknya mengharapkan pertandingan dua penjuru antara PAS dan BN bagi membolehkan rakyat menghantar isyarat kepada BN bahawa rakyat sudah sedar dan memberi satu pentunjuk.
“Tapi apa nak buat, PAN telah memberikan tongkat kepada Barisan Nasional, dia tahu kekuatan dia tak ada, bukan tak tahu,” katanya pada satu sidang media di Kompleks PAS Kuala Kangsar pada Ahad.
Beliau yang juga Pengerusi PAS PRK Kuala Kangsar berkata, PAN turut cuba memesongkan hakikat tersebut dengan menuduh PAS yang memberi tongkat kepada BN.
“Tidak masuk akal, ini kerusi tradisi, kita mempunyai 35 cawangan di Kuala Kangsar ini, kita mempunyai pengundi teras kita,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu PAS akan berkempen secara matang dan sejahtera dengan mengutamakan politik realiti bukan dengan melahirkan kebencian antara satu sama lain.
“PAS akan mengelakkan daripada melemparkan fitnah kepada pihak lawan termasuk isu-isu yang belum lagi terbukti benar," jelasnya.