KUALA KANGSAR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar supaya menjaga parti itu.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan menasihatkan jentera BN agar tidak terikut-ikut dengan rentak pihak pembangkang, sebaliknya memberi fokus sepenuhnya untuk mempastikan kemenangan calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid.
Menurut beliau, ia merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan kerana ia merupakan penentu kepada kejujuran gerak kerja jentera BN dalam pilhan raya itu.
“Ingatan saya, apa juga masalah pembangkang, itu masalah dia, yang penting mereka jangan timbulkan masalah dalam rumahtangga kita sendiri kerana yang penting adalah kita kena berfokus.
“Ini merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang terpaksa dipikul dengan bersungguh-sungguh oleh setiap mereka yang menggelarkan diri mereka jentera parti UMNO dan Barisan Nasional,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama Petugas PDM Bukit Chandan di Safari Resort di sini Sabtu malam.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Hishammuddin berkata, nasihat itu juga ditujukan kepada Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang telah ditentukan serta negeri-negeri angkat yang telah ditugaskan untuk membantu jentera BN Kuala Kangsar kali ini.
Menurutnya, jentera BN seharusnya tidak mudah terpengaruh dengan sentimen serta cita-cita tertentu dalam menggerakkan sepenuhnya gerakan kerja untuk calon BN kali ini.
“Hanya tinggal beberapa hari sahaja untuk kita meyakinkan rakyat di luar sana supaya mengundi calon BN, tidak ada masa untuk bertelagah sesama kita,” katanya lagi.