top of page
muinsapidin

Hasrat Lunaskan Perjuangan Belum Selesai Dorongan Bertanding – Mastura

KUALA KANGSAR: Setelah disahkan sebagai calon bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P067 Kuala Kangsar, Datin Mastura Yazid buat kali pertama tampil bertemu pihak media di kediamannya di Bukit Chandan, di sini petang Ahad.

Mastura yang sedang menjalani tempoh iddah selama 4 bulan 10 hari, tampil menjawab soalan media dalam satu sidang akhbar yang berlangsung selama 30 minit, ditemani Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi BN Negeri.

Beliau yang tenang mengendalikan semua soalan yang diajukan pihak media berjaya menjawab satu persatu persoalan dengan penuh yakin dan bersemangat.

“Perjuangan, perancangan dan kerja-kerja arwah suami yang masih belum selesai kini menjadi misi penting dalam saya meneruskan kelangsungan hidup saya hari ini.

“Saya lihat pencalonan dan tugas mewakili BN sebagai satu tanggungjawab,” katanya ketika menjawab soalan apakah faktor utama yang membuatkan dirinya bersetuju menerima mandat bertanding mewakili BN dalam PRK itu.

Sidang media itu turut disertai keempat-empat anaknya Wan Emir Astar, 26, Wan Imar Izzat,25,Wan Iskandar,23,Wan Muhammad Amar, 19.

Mastura berkata, kepercayaan tinggi yang diletakkan pemimpin BN terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan kemampuannya untuk meneruskan perjuangan arwah suaminya juga merupakan pendorong yang menguatkan semangat beliau bertanding.

Jelasnya lagi, keyakinan untuk mewakili suara rakyat Kuala Kangsar juga adalah atas dasar sudah amat memahami isi hati dan kehendak pengundi di kawasan itu kerana sering mengikuti program bersama rakyat sepanjang arwah suami menjadi pemimpin sejak 27 tahun lalu.

“Saya tahu banyak kerja yang belum selesai Kuala Kangsar ini termasuklah perkara dan isu yang amat dekat di hati arwah suami. justeru saya harap saya akan diberikan kepercayaan untuk melunaskan amanah tersebut,” katanya lagi.

Tegasnya, tidak wujud sebarang paksaan daripada pucuk pimpinan untuk dia menjadi seorang calon dan segalanya dilakukan beliau dengan rela hati.

Jelasnya lagi, beliau amat yakin dengan sokongan dan bantuan daripada keseluruhan jentera BN baik daripada kerajaan pusat dan negeri, BN pasti dapat mengekalkan kerusi Kuala Kangsar dengan majoriti yang lebih baik.

Katanya, kehadiran anak-anaknya yang aktif membantu jentera BN sepanjang tempoh 14 hari berkempen merupakan manifesati kasih sayang mereka terhadap arwah suaminya.

“Saya rasa inilah bukti kasih sayang yang dimiliki anak-anak saya terhadap papa mereka, yang begitu dalam dalam hati sanubari hingga mereka amat teruja berkempen dan mewakili saya,” katanya lagi.


8 views0 comments
bottom of page