KUALA KANGSAR: China akan menjadi satu pasaran besar bagi Malaysia untuk mengeksport buah durian tidak lama lagi, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Bagaimanapun, kata beliau, isunya sekarang ialah Malaysia tidak boleh mengeksport durian yang belum diproses ke negara berkenaan.
Gambar Hiasan
Menurut beliau, China masih lagi mahu mengeksport durian Malaysia yang telah diproses dalam dalam bentuk pes.
“Kita akan mengusahakan perjanjian protokol perdagangan antara Malaysia dengan China supaya satu masa nanti, kita akan dapat mengeksport terus buah-buah durian, sekiranya berlaku demikian, kita menjangkakan harga yang diperolehi oleh pengusaha akan lebih baik lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Moh Kita Ke Kuale dan Ramah Mesra Bersama YB Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di tapak My Best Buy Pasar Tani Kuala Kangsar pada Sabtu.
Ditanya mengenai eksport sarang buruh walid ke China, beliau berkata, proses perbincangan dan kerjasama di peringkat akhir sedang berjalan bagi memboleh Malaysia mengeksport sarang burung walid ke negara berkenaan yang dijangka akhir tahun ini.
Menurutnya, pihak China sudah menyediakan satu makmal bagi membolehkan Malaysia membawa masuk sarang burung walid ke negara berkenaan untuk proses pembersihan.
“Ini bagi saya merupakan satu pencapaian besar di dalam hubungan dagangan kita dengan China,” ujarnya.
Ahmad Shabery berkata, sebelum ini pengusaha-pengusaha sarang burung walid di Malaysia menghadapi dilema untuk mengeksport ke China berikutan pelbagai larangan yang dikenakan terhadap mereka.