KUALA KANGSAR: Angka lima membawa pengertian yang cukup bermakna buat keluarga calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid kerana tarikh itu, merupakan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil P 067 Parlimen Kuala Kangsar.
Anak sulung mantan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad, Wan Emir Astar, 26, berkata, hari ini genaplah sebulan pemergian allahyarham.
Menurut Wan Emir, angka lima amat menyentuh hati dan perasaan keluarganya kerana nahas helikopter yang mengorbankan ayahnya berlaku pada 5 Mei dan penamaan calon PRK Kuala Kangsar pada 5 Jun.
“Arwah memang minat pada nombor lima, number pendaftaran kereta Lexus pun lima dan Allah juga telah menentukan dialah jenazah kelima yang dijumpai dalam tragedi itu, kami sekeluarga redha ketentuan illahi,’’ katanya kepada pemberita di pekarangan pusat penamaan calon Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar pada Ahad.
Turut hadir, tiga adiknya Wan Imar Izzat,24, Wan Iskandar, 23, dan Wan Muhammad Amar,19.
Wan Emir menceritakan, kadang-kadang dia merasakan allahyarham ayahnya pergi hanya untuk sementara waktu kerana sudah menjadi kebiasaan mereka sering ditanggalkan oleh arwah kerana tugasan.