TAIPING: Sebuah syarikat elektronik dari Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan melabur sebanyak RM150 juta untuk membuka kilangnya di Kamunting dekat sini. Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata pembukaan kilang itu bakal menyediakan 300 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Gambar Hiasan
Menurutnya, sebelum ini kilang tersebut beroperasi di Pulau Pinang. "Kilang itu akan mengeluarkan produk elektronik yang akan dipasarkan di Timur Tengah dan beberapa negara Afrika," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Moreh peringkat Parlimen Taiping di Kamunting pada Jumaat. Sumbangan berjumlah RM34,000 itu membabitkan 11 buah masjid, 26 buah surau dan 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Sementara itu Mohammad Zahir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting berkata, pihaknya juga sedang dalam peringkat rundingan dengan kilang pengeluar barangan getah bagi perubatan, Litex, untuk memperluas operasinya di Kamunting. Ini termasuk pembinaan sebuah lagi kilang bernilai RM250 juta di sini, katanya – Bernama.