KUALA KANGSAR: Walaupun masih bersedih dan kelihatan penat kerana berkempen dan melayan tetamu sehingga lewat malam, anak-anak Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad masih tetap ceria dan sentiasa tersenyum.
Wan Emir Astar, 26, bersama-sama tiga adiknya, Wan Imar Izzat, 25, Wan Iskandar, 23, dan Wan Muhammad Amar, 19, jelas tidak kekok berhadapan orang ramai dan beramah mesra dengan penduduk.
"Insya-ALLAH, emak saya akan teruskan perjuangan ayah untuk parti – itulah kata-kata yang sering diungkapkan Wan Emir setiap kali bertemu penduduk di kawasan berkenaan.
Anak muda yang menggalas tanggungjawab besar itu sedar akan kekangan ibunya, Datin Mastura Mohd Yazid, yang masih dalam iddah selepas kematian bapanya yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lalu.
Ketika ditemui Suara Perak selepas majlis tahlil yang dipimpinnya sendiri ada Jumaat malam, Wan Emir terus tersenyum dan petah mengeluarkan kata-kata apabila berbicara dengan tetamu yang hadir, termasuk Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Beberapa penduduk yang ditemui turut menzahirkan simpati kepada mereka, selain memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepada ibu mereka bagi meneruskan perjuangan membela penduduk Kuala Kangsar.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Mohd Kamil Shafie dan ADUN Bukit Chandan, Maslin Sham Razman yakin pengundi akan terus menyokong perjuangan anak-anak Allahyarham dan Mastura demi meneruskan agenda pembangunan.