KUALA KANGSAR: Sebanyak RM30 juta akan diperuntukkan bagi membangunkan Dataran Lembah Sayong, khususnya dari segi pembangunan komersial dan kraftangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Maslin Sham Razman berkata, perancangan pelaburan itu merupakan salah satu rentetan pembangunan yang diteruskan daripada hasrat murni bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad.
Menurut beliau, ia merupakan salah satu impian arwah Datuk Wan untuk melihat dataran yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat saban malam itu dibangunkan secara bersepadu dan dimanfaatkan sepenuhnya baik untuk penduduk setempat ataupun pelancong yang berkunjung.
Beliau memberitahu, harapan arwah adalah untuk melihat pembaharuan di kawasan tersebut, lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti medan selera, hab kraftangan, pusat komersial, tempat letak kereta serba moden dan pusat pemasaran produk tempatan.
“Ia boleh dijadikan satu pusat sehenti untuk orang ramai penduduk Kuale, dan kami harap pembaharuan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama semua agensi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Program Semarak Minda Komuniti 1 Malaysia anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia ( KKMM) di perkarangan dataran Lembah Sayong pada petang Sabtu.
Maslin Sham berkata, beliau telah berbincang dengan beberapa agensi dan kini sedang meminta pihak Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) untuk menyediakan satu lokasi bagi pemasangan layar gergasi di sekitar dataran itu.
Katanya, ia juga bertepatan dengan persediaan sempena Piala Euro yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Kita bukan adakan sempena PRK ini sahaja, tapi kita boleh tempatkan layar gergasi untuk memupuk semangat kekitaan, khususnya untuk golongan belia dan menarik pelancong serta penduduk setempat untuk meluangkan masa di sini.
“Selain itu, sebuah pentas bergerak mungkin akan diwujudkan untuk Pilihan Raya Kecil ini bagi kempen calon dan juga kempen Piala Euro tersebut,” ujarnya.