KUALA KANGSAR - Bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Ramly Zahari turut hadir dalam program yang dianjurkan oleh Barisan Nasional (BN) sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar.
Beliau hadir di dalam program di Dewan Orang Ramai Lempor pada Khamis yang dianjurkan UMNO Bahagian Lenggong yang menjaga Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lempor.
Hadir sama Exco kerajaan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad dan ADUN Kenering, Datuk Mohd Tarmizi Idris.
Sebelum ini terdapat pelbagai khabar angin kononnya Ramly merajuk kerana tidak terpilih sebagai calon PRK Kuala Kangsar.
Kehadiran beliau pada majlis itu dikatakan serba sedikit boleh menjelaskan kekeliruan di kalangan pengundi Kuala Kangsar sejak kebelakangan ini.