top of page

Polis Nasihatkan Penyokong Parti Jangan Lakukan Provokasi

muinsapidin

KUALA KANGSAR: Polis Perak menasihatkan penyokong parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar supaya tidak melakukan provokasi semasa proses penamaan calon di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar pada Ahad.

Menurut Pegawai Perhubungan Media PRK Kuala Kangsar, ACP Shaharon Anuar Abdul Latif, mereka dinasihatkan supaya tidak menggunakan pembesar suara atau memasang apa-apa peralatan muzik, selain tidak membawa barang atau senjata yang boleh memudaratkan.

"Bagi melancarkan proses pergerakan calon-calon yang bertanding dan penyokong masing-masing, pihak polis telah menetapkan kawasan bagi penyokong parti berarak dan berkumpul mengikut laluan dan tempat yang ditetapkan," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Kangsar pada Sabtu.

Beliau memberitahu, polis telah menggerakkan kekuatan 1,381 anggota dan pegawai untuk memantau proses penamaan calon dan angkanya akan bertambah kepada 2,940 orang menjelang hari pengundian pada 18 Jun.

"Polis juga telah mengenalpasti kawasan panas 'hotspot' iaitu di 10 di DUN Manong dan 10 lagi di DUN Chandan, polis sedang memberi tumpuan dan memantau di kawasan-kawasan tersebut," ujarnya.

ACP Shaharon berkata, polis juga menasihati semua pihak supaya tidak menggunakan 'drone' untuk membuat sebarang liputan proses penamaan calon itu atau menghadapi tindakan menjatuhkan atau merampas peralatan berkenaan.

"Polis akan bertindak menjatuhkan 'drone' dan akan mencari mereka mengawal peralatan itu," kata Shaharon.

Katanya, Pusat Gerakan PRK P.067 Kuala Kangsar telah dibuka di IPD Kuala Kangsar dan dipantau oleh Bilik Gerakan IPK Perak dan selain itu Balai Polis Bergerak akan ditempatkan di kawasan yang dikenalpasti sepanjang tempoh PRK ini.


38 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page