IPOH - Seorang pesara tentera darat diperintah membayar denda RM15,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Seksyen Ipoh pada Jumaat selepas mengaku bersalah di atas pertuduhan memberi rasuah kepada penguatkuasa Imigresen pada Mac lalu.
Hakim S. Indra Nehru memerintahkan Termizi Mohamad, 69, menjelaskan denda itu atau dipenjara enam bulan jika gagal berbuat demikian.
Mengikut kertas pertuduhan, Termizi didakwa memberi suapan wang tunai RM3,000 kepada Penolong Penguasa Imigresen, Abdul Majid Mohamed, di luar pekarangan rumahnya, PT 1235, Racangan Perkampungan Tersusun (RPT) Tekah Baru, Kampung Kepayang, kira-kira jam 1.30 pagi, 24 Mac lalu.
Ia sebagai dorangan supaya tidak melakukan sesuatu berhubung hal ehwal prinsipal iaitu melepaskan pekerja tertuduh yang telah ditahan kerana berada di Malaysia tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Termizi didakwa mengikut seksyen 17(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Tarmizi diwakili oleh peguam Kathan Maruthamuthu manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin.