top of page
muinsapidin

BN Tiada Halangan Parti Lain Ketengah Calon

KUALA KANGSAR- Barisan Nasional (BN) tiada halangan sekiranya parti lain menamakan calon untuk bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar 18 Jun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi BN Perak berkata, mereka bebas berbuat demikian kerana itu adalah hak mereka.

“Kita anggap itu perkara biasa dan kita tiada apa-apa halangan kerana itu adalah hak mereka untuk menamakan sesiapa sahaja ataupun mungkin ada parti lain yang hendak menamakan calon, itu adalah hak masing-masing,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Penjawat Awam Bersama YAB Menteri Besar Perak dan Taklimat Isu-Isu Semasa oleh Presiden CUEPACS di Auditorium Tun Abdul Razak, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Kuala Kangsar pada Jumaat.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan Presiden CUEPACs, Datuk Aziz Muda.

Dr Zambry diminta mengulas Parti Amanah Negara (Amanah) Kuala Kangsar menamakan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Ahmad Tarmizi Ramli, 61 sebagai calon Amanah bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

Beliau berkata, walau apapun, yang paling penting BN akan meneruskan agenda pembangunan untuk kepentingan rakyat dengan memastikan calon BN memenangi dan mengekalkan kerusi Parlimen itu dalam pilihan raya kecil itu nanti.

“BN akan memberikan yang terbaik kepada rakyat sepertimana juga yang telah dilaksanakan oleh Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad sebelum ini,” ujarnya.


7 views0 comments
bottom of page