KUALA KANGSAR - "Tidak perlu layan orang sebegini kerana dia hanya mahukan perhatian, bila orang beri perhatian, dia rasa orang takut dengan dia".
Demikian reaksi Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun apabila ditanya tindakan Syed Rosli Syed Harman Jamalullail yang sering memuat naik status kontroversi.
Menurut Azwan, masyarakat tidak perlu melayan individu tersebut kerana dia melakukan semua itu hanya untuk meningkatkan populariti dirinya.
"Saya cuba untuk tidak berdiskusi tentang dia kerana tak penting pun setelah apa yang dibuat, rakyat boleh menilai siapa dia.
"Kalau betul dia maki calon kita, maka tiada tempat untuk dia dalam masyarakat dan juga negara," katanya dalam sidang media, di sini pada Khamis.
Tambah beliau, sesiapa sahaja boleh bertanding dalam pilihan raya tetapi ahli parti perlu mematuhi disiplin dan undang-undang.
Namun, tegasnya, individu yang bersikap sebegitu tidak perlu diberi tumpuan kerana memang perhatian yang dia cari dengan melakukan perkara demikian.
"Individu yang berperangai sebegini tidak perlu beri perhatian kerana kita ada Datin Mastura yang berlipat kali ganda lebih baik daripada dia.
"Orang kenal siapa dia (Syed Rosli), bukan baru dia buat perangai sebegini, memang sejak dari dulu dia berperangai sedemikian,” katanya.
Dalam pada itu, Azwan memberitahu, Pemuda BN tidak mempunyai sebarang masalah dalam menjalankan tugas sebagai “agen pemasaran” dalam memasarkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) BN.
“Saya ingat beliau sentiasa di sisi bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad ketika beliau memberi khidmatnya selaku wakil rakyat kepada rakyat.
“Rakyat di sini telah pun mengenali beliau, jadi ini memudahkan kerja kami, cuma kita hanya perlu mengunakan kebijaksanaan kita dalam memasarkan produk yang sudah terkenal itu,” ujarnya.