KUALA KANGSAR: Sebanyak 24 buah masjid dan 80 buah surau di Parlimen Kuala Kangsar menerima sumbangan berbentuk wang tunai yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Dewan Orang Ramai Bukit Kerajaan pada Khamis.
Setiap masjid menerima RM1,000 manakala surau menerima RM500.
ADUN Manong, Mohamad Kamil Shafie berkata, program tersebut merupakan program yang diadakan setiap tahun semenjak bekas penyandangnya, Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar.
“Dengan pemergian beliau, p kami bertanggungjawab untuk meneruskan program ini dan kami mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar keranamenyampaikan sumbangan.
“Sumbangan ini diberikan kepada pengerusi masjid dan surau untuk program berbuka puasa atau moreh,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.
Kamil berkata, pihaknya juga akan turut bersama-sama dengan kariah masjid dan surau sepanjang Ramadan ini.
“Tetapi kali ini sedikit berbeza kerana kita ada Pilihan Raya Kecil (PRK), banyak agensi-agensi akan turut menganjurkan program berbuka puasa jadi kita akan selaraskan.
“Juga akan ada majlis-majlis berbuka puasa yang dijangka turut dihadiri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Raja Muda Perak dan Raja Di Hilir,” ujarnya.
Kamil berkata, dalam setiap majlis berbuka puasa itu juga, pihaknya akan turut mengagihkan sumbangan kepada golongan fakir miskin, warga emas dan mereka yang layak menerima sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan atau barang makanan.