KUALA KANGSAR – Antara tajuk paling menjadi viral di Malaysia sejak sehari dua ini ialah berita mengenai Naib Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka, Pandan, Selangor, Syed Rosli Syed Harman Jamalullail.
Bagi orang Kuala Kangsar, soal Syed Rosli hendak menjadi calon bebas tidak timbul kerana ia dibenarkan oleh undang-undang negara yang demokrasi.
Bagaimanapun, mereka kesal dengan posting di dalam laman sosial Facebook milik lelaki itu yang memaki hamun, mencarut dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid.
“Dia sangat memalukan kami orang Kuale”, itulah antara reaksi balas rata-rata penduduk Kuala Kangsar yang ditemui pada Selasa malam.
Bagaimanapun, demi menjaga hubungan baik dengan keluarga Syed Rosli, mereka tidak mahu dikenali walaupun bersedia untuk diajak berbicara mengenai isu yang sedang hangat di pasaran.
Kebanyakan mereka yang ditemui melahirkan rasa marah, kecewa dan malu dengan tindakan Syed Rosli yang kononnya anak jati kelahiran Kuale, tetapi menjadi ahli UMNO dan mungkin mengundi di Pandan, Selangor.
“Kami orang Kuale tidak tergamak mengeluarkan kata-kata maki hamun, mencarut dan menghina, lebih-lebih lagi terhadap balu orang yang telah banyak berjasa.
“Cuba tanya Syed Rosli, apa jasa dia kepada orang Kuale, berapa kerap dia balik ke Kuale, berapa ramai dia kenal orang di sini?, kata seorang anak kelahiran Kuala Kangsar yang tidak mahu namanya dikenali.
Lelaki itu mempersoalkan mengapa Syed Rosli hanya menunjukkan sijil kelahirannya yang tercatat dia lahir di Kuala Kangsar tetapi tidak pula menunjukkan salinan kad pengenalan dengan alamat barunya.
“Datin Mastura, walaupun tidak dilahirkan di Kuale, tetapi setahu kami alamat kad pengenalannya di Istana Kuning, Bukit Chandan, rumah kampung arwah suaminya, Datuk Wan Khair-il di sini,” katanya.
Beliau mengakui, selain daripada Wan Khair-il, antara individu yang turut banyak jasa terhadap penduduk Kuala Kangsar ialah Mastura sendiri yang sering berada di samping suaminya setiap kali bertemu rakyat.
“Kami orang Kuale cukup senang dengan Datin sebab dia tidak sombong, cukup mesra dan bersedia mendengar masalah kami seolah-olah macam dia pulak wakil rakyat,” ujarnya.
Sehubungan itu, dia menasihatkan Syed Rosli supaya menjaga nama baik keluarga dan Kuala Kangsar sebagai sebuah Bandar Diraja.
Bukan sahaja penduduk Kuala Kangsar yang tidak senang dengan Syed Rosli, malah komen-komen di laman sosial Facebook turut menghentamnya kerana tidak sensitif dan tidak tahu menjaga adab.
Seorang yang dikenali sebagai Syed Salim di dalam komennya berkata, Syed Rosli turut memalukan mereka yang mempunyai gelaran syed di pangkal nama mereka.